AHMAD Zahid bersama Anthony Loke selepas Mesyuarat jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan Jalan Raya di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
AHMAD Zahid bersama Anthony Loke selepas Mesyuarat jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan Jalan Raya di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
BERNAMA

Putrajaya: Perkhidmatan pengangkutan awam mesti digunakan dengan efisien sebagai usaha mengurangkan kesesakan trafik di pusat bandar.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini termasuk cadangan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menambah jumlah laluan khas bagi perkhidmatan bas serta peluasan kaedah laluan kontra di kawasan terbabit terutamanya di sekitar Lembah Klang.

"Ertinya perbanyakkan promosi penggunaan pengangkutan awam yang akan mengurangkan kos atau berkos rendah dan destinasi laluan yang lebih banyak.

"Begitu juga dari segi laluan khusus untuk bas yang akan diperbanyakkan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan Jalan Raya (JKMKJR) Bilangan 1/2023.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang mempengerusikan jawatankuasa teknikal di bawah JKMKJR tersebut.

Ahmad Zahid berkata, Kementerian Pengangkutan mengambil pendekatan dan strategi bersifat 'quick win' terhadap penyelesaian masalah kesesakan lalu-lintas terutamanya di ibu negara tanpa sebarang peruntukkan tambahan daripada kerajaan.

Antara pendekatan itu adalah menambah baik dan memperluaskan penyediaan bas henti-henti, menambah baik akses kemudahan pejalan kaki ke stesen bas atau tren selain pengurusan trafik yang memberi keutamaan kepada pengangkutan awam, katanya.

Fokus juga diberikan terhadap pembangunan sistem maklumat dan pengurusan jadual berintegrasi tunggal di Lembah Kelang, menambah baik tempat menunggu bas yang selesa dan selamat dengan sistem maklumat bas, menambah pengangkutan awam alternatif seperti On-demand Services, e-hailing, dan pengintegrasian mod pengangkutan awam bus atau tren, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 7:17 PM