AFFENDI Buang. FOTO arkib NSTP
AFFENDI Buang. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah merangka pelan tindakan pengurusan dan pengendalian vaksin yang bakal diterima bagi memastikan program imunisasi berjalan dengan teratur tanpa sebarang pembaziran penggunaannya.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ATM diberi kepercayaan penuh dalam membantu menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu.

"Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) diketuai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) dengan dibantu Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) dan Timbalan Panglima Tentera Darat. ATM berperanan kepada koordinasi bantuan kawalan pergerakan dan logistik seperti bantuan iring kawal pergerakan vaksin dari Pusat Simpanan Vaksin (PSV) ke lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara.

"Wakil ATM juga ditempatkan bersama urusetia di peringkat pusat dan negeri bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dan CITF merancang pelaksanaan program imunisasi ini terutama koordinasi bantuan logistik di PSV dan PPV," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, peranan ATM daripada segi bantuan logistik adalah termasuk penstoran, penyimpanan, penghantaran dan juga pengagihan di samping kawalan keselamatan di setiap fasa pelaksanaan program.

"ATM juga sudah merangka pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 peringkat ATM berdasarkan keutamaan yang diberikan kerajaan sebagai penerima vaksin berkenaan.

"Ini berdasarkan ruang lingkup penugasan mereka yang berisiko dijangkiti wabak ini," katanya.

Menurutnya, pelaksanaan program itu dapat mengekalkan keupayaan serta kesiagaan ATM bagi memastikan kesejahteraan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara seterusnya mencapai objektif 'herd immunity.'

"Melalui pelan tindakan dan pengurusan proses pengagihan serta penerimaan vaksin ini akan diselia secara berperingkat oleh Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK) ATM.

"Pelan tindakan ini meliputi aspek strategi pemilihan kumpulan yang layak dengan mengambil kira tahap risiko kebolehjangkitan berdasarkan bidang penugasan serta kawasan berisiko di mana mereka ditempatkan.

"Malah, pelan tindakan ini juga termasuk koordinasi sumber manusia dan latihan anggota kesihatan ATM bagi memastikan proses pengurusan dan pemberian vaksin ini dapat dilaksanakan dengan efisien," katanya.

Affendi berkata, peranan dan pembabitan aktif ATM dalam program imunisasi ini bakal membantu memperlahankan proses penularan wabak Covid-19 bukan sahaja dalam kalangan petugas barisan hadapan malah masyarakat Malaysia.

"ATM sentiasa komited dengan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan bagi membantu kerajaan memerangi wabak Covid-19.

"Kerjasama setiap lapisan peringkat masyarakat juga amat diperlukan dalam kita menjayakan program imunisasi ini seterusnya dapat membendung keseluruhan penularan wabak berkenaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 11:48 AM