RAKAMAN yang dimuatnaik di TikTok menunjukkan suspek melakukan aksi berbahaya. FOTO tular
RAKAMAN yang dimuatnaik di TikTok menunjukkan suspek melakukan aksi berbahaya. FOTO tular
Ahmad Hasbi


Seremban: Padah memuat naik video sedang merempit dan mencabar polis di TikTok, seorang lelaki berusia 20 tahun ditahan di Sikamat, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, video itu menunjukkan suspek melakukan aksi berbahaya dengan beberapa penunggang motosikal lain.

"Pada 5.30 petang semalam, polis mengesan rakaman tular berdurasi 15 saat di TikTok milik seorang lelaki yang memaparkan beberapa rakaman suntingan video.

"Antaranya menunjukkan beberapa motosikal yang ditunggang secara bersaing sesama sendiri sambil melakukan perbuatan zig-zig, menundukkan kepala serta merapatkan badan ke motosikal atau aksi 'Superman'," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku 17 Julai lalu di Kilometer (KM) 38 sehingga KM 43 Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) menuju arah selatan pada jam 2 pagi.

"Ia membabitkan motosikal jenis Yamaha LC 135 berwarna biru hitam tanpa nombor pendaftaran yang ditunggang lelaki berumur 20 tahun seorang diri disyaki pemilik akaun berkenaan.

"Suspek dilihat sedang melakukan aksi menunggang secara melulu dan bersaing di lorong tengah lebuh raya bersama beberapa motosikal lain," katanya.

Nanda berkata, selain itu, semakan lanjut mendapati suspek memuat naik satu video mengeluarkan kata-kata mencabar polis selepas dapat melepaskan diri daripada ditahan ketika Op Samseng Jalanan dijalankan.

"Hasil daripada video yang diperolehi, pasukan Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan berjaya mengesan dan menahan suspek, hari ini.

"Kami menahan lelaki berumur 20 tahun serta motosikal jenis Yamaha LC135 berwarna biru hitam di kawasan Sikamat. Suspek dan motosikal dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk siasatan lanjut.

"Hasil soal siasat mendapati suspek mengaku melakukan perbuatan bersaing di lokasi berkenaan pada tarikh 17 Julai lalu dan mengaku menyunting dan memuatnaik video mencabar polis.

"Saringan awal air kencing mendapati negatif dadah. Dia direman tiga hari bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 8:34 PM