GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


Beaufort: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berjaya memadamkan 40 peratus daripada keseluruhan 602.29 hektar kawasan hutan yang terbakar di Kuala Penyu setakat ini.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah, Penguasa Bomba, Kiniremmy Zikol@Lupi berkata, setakat pagi ini dilaporkan kebakaran hutan masih merebak ke kawasan berhampiran.

"Kebakaran membabitkan kawasan hutan iaitu di kawasan Kampung Purun Ulu, Kuala Penyu, Nukahan, Beaufort dan Melawaring. Kebakaran juga masih merebak ke kawasan berhampiran.

"Bagaimanapun operasi pemadaman sedang diteruskan dengan satu aliran, dua pancutan dari sumber air terbuka iaitu tali air menggunakan floating pump dan pemerap api," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba mengalami kesukaran mengawal kebakaran kerana api terlalu cepat merebak disebabkan angin kuat.

Tambahnya, kebakaran juga sukar dikawal berikutan keadaan hutan yang kering serta kawasan tanah gambut.

"Operasi pemadaman masih dijalankan serta pemantauan di kawasan yang terbabit dilakukan secara berterusan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu.

Semalam, Ketua BBP Kuala Penyu Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 2.16 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 10:56 AM