ANGGOTA bomba bersama penduduk kampung melakukan pencarian dua mangsa dikhuatiri lemas di sekitar Sungai Pahang di Pulau Awang Mandur, Pekan, malam ini. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba bersama penduduk kampung melakukan pencarian dua mangsa dikhuatiri lemas di sekitar Sungai Pahang di Pulau Awang Mandur, Pekan, malam ini. FOTO ihsan bomba.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


DUA lelaki dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki terbalik ketika ingin merakam gambar di sekitar Sungai Pahang dekat Pulau Awang Mandur, Pekan, 4.45 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek berkata, siasatan awal pihaknya mendapati dua mangsa terbabit menaiki bot gentian kaca bersama dua lagi rakannya dan tekong sebelum bot dinaiki mereka terbalik.

Katanya, bagaimanapun dua rakan mangsa serta tekong berjaya diselamatkan penduduk kampung yang kebetulan sedang memancing di kawasan berhampiran.

“Mangsa hilang dikenali Chan Hoke Kee, 49, dan Ah Poi. Manakala tiga yang selamat dikenali sebagai Suprianto, 24, Sow Ke Cheong, 44, dan Fan Kek Heung, 41,” katanya dalam kenyataan media di Pekan, malam ini.

Beliau berkata, mangsa yang selamat memaklumkan mereka menaiki bot gentian kaca berkenaan bagi mengambil gambar sekitar pulau itu berikutan sedang menjalankan aktiviti mengepam pasir.

Katanya, ketika bot bergerak keadaan tidak seimbang disebabkan dua daripada mereka sedang berdiri mengambil gambar sebelum bot itu terbalik.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah digerakkan pihak berkuasa termasuk menggunakan dua bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang serta lapan bot awam.

“Bot gentian kaca dinaiki mangsa ditemui pada 7 malam dan operasi terpaksa dihentikan pada 7.30 malam kerana faktor cuaca gelap,” katanya.

Beliau berkata, operasi akan disambung pada 8 pagi esok dan pihaknya sudah memohon bantuan unit skuba marin dan unit skuba Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi melakukan pencarian di sekitar lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 10:26 PM