MAYAT Mohd Faizal  ditemukan 9.35 pagi tadi. FOTO Ihsan Bomba
MAYAT Mohd Faizal ditemukan 9.35 pagi tadi. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


Sepang: Mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika cuba menyelamatkan dua beradik perempuan yang lemas di Pantai Bagan Lalang, di sini, ditemui, hari ini.

Penolong Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sepang, Mohd Bukhari Md Shahar berkata, mangsa Mohd Faizal Mahasan, 30, ditemukan 9.35 pagi tadi.

"Mayat mangsa ditemui pada jarak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Serdang untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, media melaporkan dua beradik perempuan meninggal dunia akibat lemas ketika berkelah di Pantai Bagan Lalang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail dipetik berkata, sepasukan anggota dari BBP Sepang dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan 2.34 petang.

Menurutnya, terdapat tiga mangsa terbabit dalam kejadian itu iaitu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an serta dua kanak-kanak perempuan berusia sembilan dan tujuh tahun.

Katanya, mangsa dua kanak-kanak itu ditemui 50 meter dari lokasi mereka dilaporkan lemas dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 1:43 PM