LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes samun dan bunuh wanita warga emas di rumahnya di Taman Berjaya, Sungai Pelek, Sepang, Selangor, 15 Mac lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad berkata, kedua-dua lelaki terbabit ditahan di sekitar Sungai Pelek, awal pagi tadi.

“Kami menahan dua lelaki berkenaan bagi membantu siasatan kes itu. Kedua-dua lelaki terbabit akan direman untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan mangsa, Chin Nook Moi, 87, ditemui maut dengan beberapa kecederaan di bahagian muka dan badan dipercayai disamun berikutan terdapat kesan tingkap bilik belakang yang dipecahkan.

Kejadian jam 8.30 pagi itu disedari jiran mangsa yang ingin bertanyakan sama ada wanita terbabit mahu membeli makanan atau tidak selepas panggilannya tidak bersahut sebelum menemukan warga emas berkenaan dalam keadaan terlentang di bilik utama.

Md Noor Aehwan dilaporkan berkata, wanita terbabit dipercayai disamun jam 11.30 hingga 12.30 tengah malam.

Beliau memaklumkan setakat ini, kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun.

Berita berkaitan

Wanita warga emas maut disamun

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 4:04 PM