FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Melaka: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengarahkan seluruh masjid dan surau di negeri itu melaksanakan bacaan Qunut Nazilah bermula hari ini.

Pengarahnya Datuk Che Sukri Che Mat berkata ia sebagai tanda solidariti kerajaan negeri bersama rakyat Palestin yang sedang menghadapi pencerobohan dan serangan tentera Israel.

"Pentadbiran ini menyarankan kepada semua rakyat negeri Melaka untuk bersama-sama mendoakan kesejahteraan dan keselamatan penduduk Palestin yang sedang ditindas dan dizalimi serta perlindungan untuk negeri dan negara kita daripada bencana wabak (Covid-19).

"Sehubungan itu, mulai 17 Mei (Isnin), semua masjid dan surau di negeri Melaka diarah untuk membaca Qunut Nazilah memohon kepada Allah SWT supaya rakyat Palestin dan negara kita diberikan keselamatan, perlindungan dan kemenangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Qunut Nazilah berkenaan hendaklah dibaca pada rakaat terakhir solat Subuh dan Isyak pada setiap hari dan pada rakaat kedua solat Jumaat.

Arahan itu akan terus berkuat kuasa sehingga ada arahan lain dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 6:45 PM