GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Masjid utama di Terengganu akan mengadakan bacaan Qunut Nazilah dalam solat Jumaat, esok bagi mendoakan keselamatan masyarakat Islam Rohingya di Myanmar.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim berkata, situasi yang menimpa saudara seagama di Myanmar itu menyebabkan dirasakan perlu dan menjadi tanggungjawab bersama untuk mendoakan keselamatan mereka.

"Sebelum ini, JHEAT juga ada menerima seruan bertulis daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi mengadakan bacaan Qunut Nazilah itu," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga akan memperluaskan bacaan itu di semua masjid di seluruh negeri bermula Jumaat minggu depan dan ia akan dimaklumkan melalui e-khutbah supaya semua imam masjid menghafal serta membuat persiapan terlebih dahulu sebelum membaca doa itu.

Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha semalam, memohon kerjasama majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri di seluruh negara untuk meminta semua masjid di negeri masing-masing mengadakan bacaan qunut itu bagi mendoakan keselamatan masyarakat Islam Rohingya yang sedang ditindas di Myanmar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 10:50 PM