KEADAAN kenderaan yang terjatuh dari tingkat tiga menara pejabat di Setia Alam. FOTO Ihsan JBPM Selangor
KEADAAN kenderaan yang terjatuh dari tingkat tiga menara pejabat di Setia Alam. FOTO Ihsan JBPM Selangor
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seorang lelaki terselamat selepas kenderaan yang dipandunya terjatuh dari tingkat tiga tempat letak kereta sebuah menara pejabat di Setia Alam dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya menerima laporan berkenaan kemalangan itu pada 1.06 pagi.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kereta BMW dipandu lelaki berusia 41 tahun dipercayai hilang kawalan lalu melanggar kereta Perodua Myvi dan Proton Persona yang diparkir di tingkat tiga menara berkenaan.

"Kenderaan mangsa kemudian melanggar tembok batu parkir sebelum terjatuh. Pemandu mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk menerima rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami di talian 011-31215697," katanya.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung perkara itu pada 11.30 malam sebelum operasi dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 1:38 PM