MOHAMAD ketika Program Sembang Santai bersama jentera BN sempena kempen PRK Dun Pelangai di Felda Chemomoi. FOTO BERNAMA
MOHAMAD ketika Program Sembang Santai bersama jentera BN sempena kempen PRK Dun Pelangai di Felda Chemomoi. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Bentong: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelangai adalah medan pertempuran kecil yang perlu dimenangi Barisan Nasional (BN) bagi membina keyakinan menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kemenangan di Pelangai akan membantu membangkitkan semangat ahli, sekali gus memperkukuh parti selepas tewas teruk pada PRU lalu.

"Jadikan PRK ini medan kebangkitan kita, kita tidak boleh berasa selesa, jentera kena kerja keras untuk menang, kerana kita belum kuat selepas lemas pada PRU-15, walaupun PRU-16 jauh lagi, tapi di sini lah bermulanya persiapan kita untuk hadapi medan pertempuran yang sebenar itu.

"Tapi (kemenangan) tidak boleh jadi ukuran pada kemampuan dan kekuatan kita, kerana kita masih dalam fasa atau mood memastikan survival parti, kita masih belum kuat dan masih perlukan rakan politik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir program Sembang Santai BN di Felda Chemomoi di sini malam tadi, yang turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan calon BN bagi PRK Pelangai Datuk Amizar Abu Adam.

Mohamad berkata UMNO hanya boleh menilai kekuatan parti itu semula pasca-PRU16 yang selewat-lewatnya diadakan pada Mei 2027.

"Buat masa ini, kita fokus menang di mana-mana PRK termasuk di Pelangai ini, saya yakin kita boleh menang malah dapat majoriti lebih banyak berbanding PRU-15 lalu," katanya.

PRK Pelangai pada 7 Oktober ini diadakan susulan kematian Datuk Seri Johari Harun, 53, yang juga penyandang bagi Dun itu, dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Ia menyaksikan pertarungan tiga penjuru antara Amizar yang mewakili BN, Kasim Samat daripada Perikatan Nasional dan seorang calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni.

Sementara itu, ditanya berkaitan gesaan veteran Umno Abdul Rahman Bakar yang mahu rombakan segera dilakukan terhadap barisan pimpinan parti itu di Terengganu selepas kalah teruk pada PRU15 dan Pilihan Raya Negeri, Mohamad berkata perkara berkenaan akan dibincangkan parti selepas selesai PRK Pelangai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 12:20 PM