Alias Abd Rani


Batu Pahat: "Saya pelik dan tak sedap hati selepas suami tak jawab mesej, namun semuanya terjawab selepas menerima panggilan memberitahu dia kemalangan," kata Norana Paiman, 41, isteri Allahyarham Nuri Hasni Mohd Samuri selepas motosikal kuasa tinggi bertembung treler di Jalan Kluang-Ayer Hitam berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Lalang di sii, semalam.

Kemalangan jam 1.15 petang itu menyebabkan Nuri Hasni yang menunggang motosikal Yamaha XJ6 maut di lokasi akibat kecederaan dalaman.

Lebih menyedihkan apabila kemalangan itu berlaku hanya tidak sampai dua kilometer dari rumah bapanya di Kampung Melayu Manong, Batu 9, dekat Ayer Hitam.

Menurut Norana, dia menghantar mesej kepada suaminya melalui aplikasi WhatsApp yang ketika mahu ke rumah mentuanya di kampung itu untuk mengambil kereta.

Katanya, kali terakhir dia menghantar mesej itu pada jam 12 tengah hari dan biasanya arwah akan membalas memaklumkan dia sudah tiba di rumah bapanya.

"Dalam hati saya tertanya-tanya kenapa suami berdiam diri tidak seperti kebiasaannya, namun akhirnya saya terima panggilan itu (suami kemalangan). Seorang guru mendapat nombor telefon saya selepas melihat mesej WhatsApp terpapar pada skrin telefon arwah suami.

"Saya bergegas ke lokasi kemalangan dan melihat jasad suami sudah ditutup dengan kain," katanya ketika ditemui di rumah mentuanya.

Pasangan itu mempunyai seorang anak tunggal, Muhammad Haziq Hadi, 15, sebelum ini menetap di Machap, Kluang.

Arwah suami Norana bekerja di pelantar minyak, Kemaman dikatakan sedang bercuti sempena Aidiladha dan dijangka pulang ke Terengganu Ahad ini.

"Sepatutnya dia pulang ke Terengganu minggu ini namun memandang Aidiladha, dia menyambung cuti untuk bersama keluarga," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan lalu bertembung treler dari arah Kluang ke Batu Pahat.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu treler berusia 37 tahun tidak cedera.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta kerjasama orang ramai mempunyai maklumat mengenai kejadian ini, agar tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau IPD Batu Pahat, 07-4343999," katanya.

Norana dan anaknya, Muhammad Haziq Hadi menunjukkan gambar arwah. FOTO Alias Abd Rani
Norana dan anaknya, Muhammad Haziq Hadi menunjukkan gambar arwah. FOTO Alias Abd Rani

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 11:21 AM