GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Seorang bekas pemandu lori dijatuhi hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Persekutuan di sini hari ini kerana membunuh teman wanitanya di sebuah rumah di Kampung Batu Besi, Simpang Pulai, Perak, tujuh tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah menjatuhkan hukuman itu terhadap N. Sanderasegaran, 35, selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengembalikan semula pertuduhan asal dihadapi lelaki berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

"Mahkamah mendapati terdapat merit dalam rayuan perayu (pendakwaan) dan bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa Mahkamah Rayuan telah terkhilaf apabila meminda pertuduhan daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan (menyebabkan kematian).

"Oleh itu, kami membenarkan rayuan pihak pendakwaan. Bagaimanapun, kami mempunyai budi bicara sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati atau penjara (antara 30 dan 40 tahun)," kata Hakim Mohamad Zabidin yang turut memerintahkan responden (Sanderasegaran) menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 28 Februari 2016.

Turut bersidang pada prosiding hari ini ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Hakim Datuk Nordin Hassan.

Pada 2 Oktober 2018, Sanderasegaran dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak kerana membunuh S. Durga Devi yang ketika kejadian berusia 17 tahun di sebuah rumah di Kampung Batu Besi, Ladang Sengat, Simpang Pulai antara 11 malam 27 Februari hingga 6 pagi 28 Februari 2016.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 15 Mac 2022, menggantikan hukuman mati mandatori itu dengan penjara 20 tahun atas kesalahan menyebabkan kematian wanita itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johar memohon supaya hukuman penjara maksimum 40 tahun ke atas tertuduh dengan mengambil kira mangsa adalah seorang wanita yang lemah dan laporan bedah siasat mendapati terdapat 129 kesan kecederaan pada tubuh badan mangsa.

"Berdasarkan keterangan pakar patologi jelas menyatakan punca kematian mangsa disebabkan kecederaan di bahagian kepala," katanya.

Peguam Charan Singh yang mewakili Sanderasegaran memohon hukuman penjara antara 30 tahun atas alasan anak guamnya tidak mempunyai rekod lampau.

"Anak guam saya ditangkap pada 28 Februari 2016 dan dia berada di penjara sejak tarikh itu," kata Charan yang turut dibantu peguam Noor Farihah Arshad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 5:25 PM