Seorang lelaki, Zulkiple Mohamad, 45, yang didapati bersalah membunuh dengan cara memukul seorang wanita warga emas berusia 75 tahun sebelum merogolnya, terlepas hukuman gantung sampai mati. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Seorang lelaki, Zulkiple Mohamad, 45, yang didapati bersalah membunuh dengan cara memukul seorang wanita warga emas berusia 75 tahun sebelum merogolnya, terlepas hukuman gantung sampai mati. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Seorang lelaki yang didapati bersalah membunuh dengan cara memukul seorang wanita warga emas berusia 75 tahun sebelum merogolnya, terlepas hukuman gantung sampai mati.

Zulkiple Mohamad, 45, berjaya mengenepikan hukuman itu selepas Mahkamah Persekutuan yang bersidang di sini, hari ini sebulat suara membuat keputusan menggantikan hukuman dengan penjara 38 tahun serta 12 sebatan berkuatkuasa dari dia ditangkap 21 Jun 2014.

Keputusan dibuat panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.

Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee berhujah, pemohon memasuki kediaman mangsa melalui siling sebelum memukul bahagian kepalanya menggunakan sebatang kayu besbol.

"Ketika mangsa sedang nyawa-nyawa ikan, pemohon merogol mangsa yang mana kesan kecederaan di bahagian kemaluan mangsa mendapati kejadian itu berlaku sebelum mangsa mati," hujahnya yang membantah permohonan semakan hukuman gantung itu.

Sementara itu, peguam Mohd Radzi Yatiman yang mewakili Zulkiple pula berhujah, pemohon tidak berniat untuk membunuh mangsa ketika memasuki kediaman itu.

"Kayu besbol yang digunakan bukan dibawa oleh pemohon sebaliknya ditemukan di kediaman mangsa membuktikan dia tidak berniat untuk membunuh mangsa daripada awal.

"Selain itu, pemohon juga telah memberi kerjasama penuh sepanjang perbicaraan kes ini berlangsung. Pemohon telah insaf dan menyertai pelbagai kursus sepanjang dipenjarakan," hujahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 4:38 PM