GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Faris Fuad


Putrajaya: Seorang bekas pengawal keselamatan terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman itu dengan penjara 33 tahun dan 12 sebatan kerana membunuh pelajar Tingkatan Lima yang juga kekasihnya.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah, yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Abu Bakar Jais, membuat keputusan itu secara sebulat suara.

Ia susulan hakim terbabit membenarkan rayuan akhir tertuduh, Tarmizi Yaakob, 28, supaya mahkamah mempertimbangkan hukuman di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846).

"Perintah hukuman mati diganti dengan hukuman penjara 33 tahun dan 12 sebatan.

"Hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 25 Oktober 2015," kata Mohamad Zabidin.

Pada 26 Mac 2019, Mahkamah Tinggi Georgetown menjatuhkan hukuman mati terhadap Tarmizi dikenali sebagai 'Babun' selepas disabitkan kesalahan membunuh pelajar berusia 17 tahun itu di Teluk Kumbar, Georgetown, antara jam 7.30 pagi dan 7.30 malam, 25 Oktober 2015.

Mahkamah sama mengenakan hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan terhadap Tarmizi kerana merogol perempuan berkenaan di tempat dan tarikh sama pada jam 7.30 pagi.

Terdahulu ketika prosiding, peguam bela Tarmizi, Azizul Shariman Mat Yusoff, berkata pihaknya menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 15 Ogos lalu, supaya mahkamah mempertimbangkan hukuman mengikut Akta 846.

"Kami mendapat jawapan daripada pihak responden (pendakwaan) bahawa tiada halangan untuk memohon hukuman di bawah akta berkenaan.

"Sehubungan itu, pihak perayu tidak meneruskan rayuan terhadap sabitan bagi pertuduhan membunuh, sebaliknya rayuan terhadap hukuman saja.

"Perayu juga tidak meneruskan rayuan terhadap sabitan dan hukuman bagi pertuduhan merogol," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorhisham Mohd Jaafar, mengesahkan perkara berkenaan.

Ketika rayuan untuk meringankan hukuman, Azizul Shariman memohon penjara minimum atas faktor ketika kejadian perayu adalah pesalah muda yang berusia 20 tahun.

Katanya, pesalah muda wajar diberi peluang dan pengajaran supaya tidak mengulangi perbuatan sama pada masa akan datang berdasarkan prinsip undang-undang.

"Berdasarkan laporan psikiatrik, perayu waras semasa kejadian tetapi ada rekod pengambilan dadah jenis kanabis serta Erimin 5 sejak berusia 17 tahun dan kurang kasih sayang memandangkan ibu meninggal dunia semasa perayu berusia 15 tahun.

"Rakan perayu juga menunjukkan rakaman video teman wanita yang ingin dikahwini perayu itu curang serta keluar dengan lelaki lain.

"Ia menyebabkan perayu gagal membuat pertimbangan dan saya mohon mahkamah mengambil kira faktor berkenaan yang menyebabkan berlakunya kejadian itu," katanya.

Sementara, Noorhisham berkata, perayu menggunakan senjata pisau ketika kejadian, manakala hasil laporan perubatan mendapati ada 18 kesan darah, lebam, luka dan melecet pada badan mangsa.

"Terdapat juga kesan koyak pada kemaluan mangsa dan punca kematian akibat kelar leher.

"Oleh itu, pihak pendakwaan memohon hukuman penjara tidak kurang daripada 35 tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 2:32 PM