Raja Noraina Raja Rahim dan Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Pengurusan tertinggi Media Prima Bhd (Media Prima) hari ini, mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Diketuai Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, pertemuan selama sejam setengah berlangsung di Bilik Mesyuarat Ketua Polis Negara, Menara 1 Bukit Aman, di sini.

Turut serta dalam kunjungan hormat itu ialah Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar; Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman serta Timbalan Pengarang Kumpulan Jabatan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima, Azhari Muhidin.

Menyifatkan pertemuan itu sebagai mengukuhkan lagi kerjasama yang sedia terjalin antara media dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Razarudin berkata, laporan tepat media meningkatkan imej dan pandangan masyarakat terhadap PDRM.

"Media sebenarnya memberikan gambaran sebenar kepada masyarakat. Apabila kita memberi maklumat tepat kepada media, apa PDRM dapat adalah pandangan masyarakat terhadap kita.

"Kita tidak mahu masyarakat mempunyai anggapan dan salah tafsiran disebabkan maklumat diterima daripada sumber yang tidak betul menyebabkan masyarakat memandang serong kepada polis," katanya.

Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid menyerahkan cenderahati kepada Tan Sri Razarudin Husain sambil disaksikan Datuk Mohd Efendi Omar dan Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman ketika mengadakan lawatan kunjungan hormat Media Prima Berhad di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid menyerahkan cenderahati kepada Tan Sri Razarudin Husain sambil disaksikan Datuk Mohd Efendi Omar dan Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman ketika mengadakan lawatan kunjungan hormat Media Prima Berhad di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD

Berikutan itu, beliau berkata, sebaik dilantik memegang jawatan utama dalam PDRM, beliau membuka ruang kepada timbalannya dan semua pengarah untuk memberikan maklumat kepada media.

Katanya, ia bagi memastikan laporan yang disampaikan media tepat dan diketahui masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 5:25 PM