Bekas ahli majlis sebuah agensi kerajaan di Terengganu bergelar Datuk dan isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan salah guna kuasa dan menipu dengan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah hampir RM20,000. FOTO GHAZALI KORI
Bekas ahli majlis sebuah agensi kerajaan di Terengganu bergelar Datuk dan isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan salah guna kuasa dan menipu dengan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah hampir RM20,000. FOTO GHAZALI KORI
Oleh Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Bekas ahli majlis sebuah agensi kerajaan di Terengganu bergelar Datuk dan isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan salah guna kuasa dan menipu dengan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah hampir RM20,000.

Tertuduh, Datuk Mohamad Zahari Harun, 64, dan isterinya, Lydia Irmawati Mahmud, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan dengan mengambil bahagian dan membuat keputusan melantik syarikat milik isterinya sebagai ejen kutipan zakat.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) di Kuala Terengganu pada 23 September 2019.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Lydia Irmawati yang juga pemilik syarikat berdepan lapan pertuduhan menipu bagi bayaran balik bahagian fakir miskin kepada Maidam berjumlah hampir RM20,000.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi sama antara Disember 2020 sehingga Disember 2021.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah kedua-dua tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 20 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah membenarkan Mohamad Zahari dan isterinya masing-masing diikat jamin RM7,000 serta RM10,000 dengan seorang penjamin.

Kedua-dua tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu saksi pendakwaan, menyerahkan pasport serta melapor diri di Pejabat SPRM setiap bulan sepanjang prosiding berlangsung.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam, Azrul Zulkifli Stork.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 3:59 PM