Mohamad Afzannudin didenda RM3,500 selepas mengaku bersalah menceroboh masjid di UTHM. FOTO Alias Abd Rani
Mohamad Afzannudin didenda RM3,500 selepas mengaku bersalah menceroboh masjid di UTHM. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Batu Pahat: "Saya nak berubah, mulakan hidup baru. Berilah peluang kepada saya, lagipun saya baru mula bekerja," demikian rayuan seorang lelaki yang pernah disebat tiga kali kerana menceroboh masjid sebelum dijatuhi hukuman denda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohamad Afzannudin Mohd Amir, 25, dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh masjid, Mac lalu.

Dia yang memiliki tiga rekod lampau termasuk positif dadah membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki bangunan Masjid Sultan Ibrahim dalam kampus Universiti Tun Hussein Onn, Parit Raja, pada 1.30 pagi, 12 Mac lalu.

Jika sabit kesalaham tertuduh boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, seorang kariah ternampak kelibat lelaki tidak dikenali berlegar-legar dalam masjid terbabit sebelum menghubungi pengawal keselamatan.

Sebaik tiba di lokasi, tertuduh bertindak melarikan diri dan terjatuh sebelum berjaya ditahan. Ketika ditahan, polis menemui pemotong disyaki digunakan untuk melakukan jenayah.

Tertuduh sebelum ini memiliki dua rekod jenayah bagi kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan pada 2018 dan 2019, manakala Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili peguam, Zuliyati Awang.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh tanpa mengambil kira alasan terdesak yang mendorongnya melakukan perbuatan itu.

Zuliyati dalam rayuan memberitahu tindakan anak guamnya kerana dia terdesak selepas kereta sudah ditarik, manakala sewa rumah belum dibayar.

Selepas mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,500 terhadap tertuduh.

Pada masa sama, mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 2:55 PM