TERTUDUH (dua kanan) di Mahkamah Majistret Ampang. FOTO Suraya Roslan
TERTUDUH (dua kanan) di Mahkamah Majistret Ampang. FOTO Suraya Roslan
Suraya Roslan


Ampang: Bekas perunding kesihatan hospital swasta didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana menceroboh bilik bedah Hospital Ampang untuk mengambil ubat bius bagi kegunaan diri sendiri, minggu lalu.

Tertuduh lelaki berusia 33 tahun itu mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Normaizan turut memerintahkan lelaki itu dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang masih bujang itu didakwa menceroboh masuk ke dalam bilik bedah Hospital Ampang, di sini, pada 3.05 pagi, 9 Julai lalu.

Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut seksyen sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu peguam Ungku Ikram Athari yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman minimum iaitu denda dengan alasan anak guamnya mengalami penyakit kemurungan, skizofrenia dan gangguan keperibadian ganda (multiple personality disorder).

"Pengakuan salah tertuduh menjimatkan masa mahkamah. Selepas kejadian ini, tertuduh kehilangan kerja

namun pada masa perlu menanggung adik beradik.

"Tertuduh juga mengalami kemurungan sejak 2019 dan kini sedang mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Justeru sekiranya dibenarkan, pihak pembelaan memohon satu bon berkelakuan baik dan denda minimum diberikan kepada tertuduh," kata peguam itu.

Rayuan lanjut turut menyatakan, ubat-ubatan yang diambil tertuduh ketika kejadian sudah dipulangkan.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Peh Fong Xi yang mendengar rayuan itu membantah sekiranya mahkamah memberikan bon berkelakuan baik kerana perbuatan itu adalah terancang kerana mengenakan 'scrub' pembedahan untuk memasuki bilik bedah itu.

"Oleh itu pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh selain mengambil kira faktor kepentingan awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 1:14 PM