FISOL Salleh (kanan). FOTO Zuliaty Zulkiffli
FISOL Salleh (kanan). FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis sudah mengambil keterangan lima individu untuk membantu siasatan berhubung kejadian dua kanak-kanak lelaki yang termakan keropok mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kesemua keterangan itu diambil sejak hari kejadian.

Menurutnya, setakat ini hanya satu tangkapan dilakukan membabitkan seorang lelaki dipercayai pekebun berusia 33 tahun untuk membantu siasatan.

"Lelaki itu ditahan di sekitar Lubuk Buntar, Serdang sekitar 12 tengah hari semalam dan direman enam hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.

"Kami minta semua pihak memberi ruang kepada polis... sekiranya ada maklumat baru, kita akan maklumkan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.

Fisol berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan dua beradik, Muhammad Akil Syauqi, 3, dan Muhammad Luth Syauqi, 2, kritikal selepas makan keropok yang mengandungi racun tikus.

Bagaimanapun, Muhammad Akil Syauqi meninggal dunia pada 8.40 pagi semalam ketika dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP), manakala adiknya dilaporkan masih kritikal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 2:49 PM