FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Proses pendaftaran sebagai penerima vaksin Covid-19 bagi orang ramai dijangka dibuka bermula Mac ini dan dilaksanakan dengan konsep sukarela, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, mereka boleh berbuat demikian menerusi lima kaedah termasuk menggunakan aplikasi MySejahtera.

"Sekiranya tiada MySejahtera, orang ramai boleh mengakses laman sesawang (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid19-JKJAV) yang akan dilancarkan Perdana Menteri pada minggu depan.

"Selain itu, talian hotline (nombor ditetapkan kemudian), pendaftaran secara manual di klinik dan hospital awam serta swasta dan kelima, jika berada di kawasan pedalaman, kita akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mendaftarkan penerima termasuk warga emas," katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang disiarkan malam tadi, bertajuk "Vaksin: Kendurkan Ketegangan dan Kerisauan terhadap Covid-19."

Khairy yang Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mengulangi program vaksinasi akan dimulakan dengan petugas barisan hadapan.

"Saya terima banyak permohonan supaya ditakrifkan (pemohon) sebagai 'frontliners' namun kita akan menilai setiap permohonan.

"Saya boleh sahkan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) adalah orang pertama akan menerima vaksin Pfizer dan kemudiannya Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah), doktor, jururawat dan lain-lain lagi. Menteri-menteri kemudian sikit," katanya.

Pada 4 Februari lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata, kerajaan akan memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara tiga fasa mulai hujung bulan ini, dengan kerajaan menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin itu yang akan diberikan secara percuma.

Fasa pertama dari Februari hingga April untuk kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan yang terbabit secara langsung dalam memerangi wabak itu, sementara fasa kedua dari April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi selain golongan orang kurang upaya (OKU).

Fasa ketiga adalah bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas dari Mei ini hingga Februari tahun depan.

Pada 8 Januari lalu, Khairy mengumumkan vaksin Pfizer-BioNTech berjaya didaftar oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), sekali gus memberi kelulusan bersyarat untuk penggunaan vaksin itu di negara ini.

Selain Malaysia, 49 negara lain turut memberi kelulusan terhadap vaksin berkenaan dengan sebahagian negara terbabit mula menggunakan vaksin itu.

Untuk rekod, vaksin Pfizer menjadi vaksin Covid-19 yang pertama mendapat perakuan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk kegunaan kecemasan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2021 @ 4:57 PM