Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kos perbelanjaan rawatan dan vaksin Covid-19 bagi ibu bapa layak mendapat pelepasan cukai pendapatan di bawah perbelanjaan membiayai rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibu bapa.

Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah berkata, pelepasan cukai itu layak dituntut sehingga RM8,000.

"Untuk makluman Yang Berhormat (YB), pelepasan ini boleh dituntut untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

"Sekiranya ibu bapa disahkan positif Covid-19 dan perlu menjalani rawatan termasuk vaksin Covid-19, perbelanjaan boleh dituntut di bawah perbelanjaan perubatan ibu bapa maksimum sehingga RM8,000," katanya menjawab soalan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2020 hari ini.

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Jalaluddin membangkitkan persoalan sama ada perbelanjaan vaksin Covid-19 bagi ibu bapa boleh digunakan untuk menuntut pelepasan cukai sebanyak RM1,000, susulan kanak-kanak dan remaja 18 tahun ke bawah tidak diberikan vaksin berkenaan.

Dalam Belanjawan 2021, kerajaan bakal memperluaskan skop pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan perubatan membabitkan perbelanjaan lapan vaksinasi oleh pembayar cukai bagi diri, pasangan dan anak terhad kepada RM1,000.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 2:26 PM