Pengarah KPDN Kelantan (pakai vest dan bertopi) memeriksa lokasi transit yang dipercayai menjalankan aktiviti penyelewengan petrol. FOTO ihsan KPDN
Pengarah KPDN Kelantan (pakai vest dan bertopi) memeriksa lokasi transit yang dipercayai menjalankan aktiviti penyelewengan petrol. FOTO ihsan KPDN
Siti Rohana Idris


Tumpat: Serbuan di sebuah kawasan berhampiran kubur di Kampung Geting di sini menemukan sejumlah petrol serta peralatan yang disorok di dalam reban ayam dipercayai untuk aktiviti penyeludupan bahan api bersubsidi itu.

Turut ditemukan dalam serbuan pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor pagi semalam adalah beberapa tong plastik yang mengandungi petrol.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, terdahulu risikan yang dijalankan pasukannya mengesan berlaku aktiviti pemindahan petrol dari sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback ke beberapa tong plastik di lokasi.

"Seterusnya serbuan yang dibuat jam 9 pagi semalam mendapati tiada individu berada di lokasi dan dipercayai melarikan diri kerana sudah menghidu kedatangan pihak berkuasa.

"Pemeriksaan terhadap kereta berpendaftaran tempatan itu mendapati tangki minyaknya sudah diubahsuai dan mengandungi minyak petrol melebihi kuantiti asal.

"Siasatan lanjut mendapati lokasi itu dipercayai dijadikan transit sementara berdasarkan penemuan sejumlah tong berisi barang kawalan yang disembunyikan di dalam reban ayam dan semak berhampiran," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azman berkata, petrol yang berjaya dirampas adalah sebanyak 375 liter dan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM5,600 termasuk kenderaan.

Menurutnya lagi, lokasi itu juga disyaki sebagai tempat pemunggahan serta pemindahan barang kawalan iaitu petrol dan diesel untuk tujuan penyelewengan ke negara jiran melalui pangkalan haram atau tebing sungai di sempadan.

"KPDN menyeru orang ramai untuk memberikan kerjasama dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berkaitan dengan penyeludupan bagi membanteras kegiatan haram ini.

"Dalam masa yang sama juga pasukan penguat kuasa kami turut mempergiatkan usaha dengan mengadakan Pemantauan dan Rondaan Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan di stesen-stesen minyak sekitar radius 50 kilometer dari sempadan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 12:32 PM