BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan akan menggunakan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bagi pelbagai keperluan fungsian yang dibangunkan oleh pelbagai agensi dalam usaha menambah baik perancangan program sosioekonomi pada masa akan datang.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata usaha itu juga akan dilakukan khususnya dalam mengoptimumkan sumber, mengurangkan ketirisan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

"Kerajaan juga sedang meneliti pembentukan keperluan fungsian dan antara keperluan fungsian utama ialah mekanisme penyaluran subsidi bersasar," katanya sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai ketersediaan kerajaan dari segi data dan mekanisme melaksanakan penyasaran subsidi.

Rafizi berkata penambahbaikan sistem PADU menjamin keselamatan dan dinamik sehingga dapat memenuhi ciri-ciri masa nyata yang tidak perlu dikemaskinikan secara pemutihan dan sebagainya.

"Jika dibandingkan sebelum ini tanpa PADU, apabila sesuatu program bantuan diumumkan oleh kerajaan, permohonan perlu disemak satu persatu melalui pelbagai jabatan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Maka, proses semakan itu sebenarnya panjang," katanya.

Mengenai inisiatif kerajaan untuk meningkatkan penguasaan ekonomi bumiputera, beliau berkata kerajaan masih lagi meneruskan pemberian geran bagi membantu usahawan bumiputera dan dikelaskan mengikut kumpulan penerima.

"Kerajaan telah memberi petunjuk dasar yang jelas bahawa penyertaan syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan perlu diperluas supaya menjadi lebih proaktif dalam mempergiatkan serta mengerakkan agenda permerkasaan ekonomi bumiputera," katanya.

Rafizi berkata demikian menjawab soalan Datuk Amzad Mohamed@Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai usaha kerajaan untuk meningkatkan penyertaan syarikat tempatan bumiputera khususnya dalam sektor berimpak tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 2:53 PM