MUHAMMAD Sanusi Md Nor.
MUHAMMAD Sanusi Md Nor.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan bahawa pihaknya tidak akan mempertimbangkan semula keputusan menamatkan semua lesen perjudian dan loteri di negeri itu.

Beliau berkata, judi bukan hanya isu untuk satu kaum sahaja sebaliknya judi sudah merosakkan semua kaum di negara ini.

"Kita takkan ada pertimbangan semula, ini bukan isu satu kaum sahaja... Judi merosakkan semua kaum.

"Judi tak pernah jadi alat membentuk keharmonian kaum," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai harapan Setiausaha DAP negeri, Teh Swee Leong agar kerajaan negeri dapat mempertimbangkan semula keputusan menamatkan semua lesen perjudian dan loteri di Kedah.

Swee Leong berkata, langkah itu wajar dipertimbang semula bertujuan mengekalkan keharmonian kaum dan mengawal masalah sosial.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, Swee Leong terlebih dahulu diminta untuk membuktikan judi boleh membentuk keharmonian kaum.

Katanya ini kerana keharmonian kaum hanya boleh dibentuk melalui integrasi di sekolah, aktiviti sukan, silang seni budaya, bahasa pertuturan yang sama dan lain-lain.

"Suruh dia buktikan judi boleh bentuk keharmonian kaum," katanya.

Semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya pada 1 Januari 2023, susulan keputusan kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 12:34 PM