Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dipersembahkan laporan terkini Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, laporan itu dipersembahkan oleh Pengerusi RCI Tun Md Raus Sharif kepada Seri Paduka Baginda di Istana Negara hari ini dalam sesi yang berlangsung hampir sejam.

Pada Februari lalu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan memaklumkan Sultan Ibrahim memperkenan penubuhan suruhanjaya itu berkuat kuasa serta-merta.

Penubuhan RCI itu dilakukan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.

Selain itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Pada 2 Februari 2017, Malaysia memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan ICJ (23 Mei 2008), namun pada Mei 2018, Kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan itu dua minggu sebelum kes dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.

Pada 27 Februari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penubuhan RCI itu adalah bagi mencari jalan penyelesaian serta mengorak langkah penambahbaikan berkaitan sebarang isu membabitkan kedaulatan negara dan bukan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak.

Azalina berkata, rakyat Malaysia, khususnya rakyat Johor wajar diberikan penjelasan mengenai sebab dan faktor sebenar yang mendorong keputusan untuk tidak meneruskan Permohonan Semakan dan Permintaan Tafsiran kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di ICJ.

Pada 12 Jun lalu, Dr Mahathir memberi keterangan pada prosiding RCI yang dijalankan secara tertutup.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 1:14 PM