Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kemampuan menguruskan kontinjen negara dengan selamat termasuk 30 atlet sepanjang Olimpik Tokyo yang diselubungi dengan kebimbangan pandemik Covid-19, dilihat sebagai satu kejayaan meskipun kontinjen negara gagal memenuhi sasaran tiga pingat.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, bukan mudah untuk menguruskan kontinjen negara ketika isu pandemik masih menyelubungi dunia dan selepas Olimpik Tokyo ditangguhkan selama setahun.

"Antara kesukaran yang kita hadapi ialah atlet dan pegawai terpaksa melalui proses kuarantin selama tiga hari sebaik tiba. Tapi kami dapat menguruskan kesemua mereka dengan baik.

"Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican) juga sering mengambil tahu hal atlet dan memberi komitmen cukup tinggi untuk membantu.

"Tak ada masalah disiplin dan kesihatan membabitkan atlet. Paling penting kami pastikan pegawai dan atlet menjadi keutamaan.

"Harap kita akan dapat terus bekerjasama dengan baik sehingga Paris 2024. Saya percaya kita mampu meneruskan pencarian kita (emas pertama di Olimpik," katanya pada sidang media kontinjen negara di Olimpik Tokyo.

Norza berkata, sebelum bermulanya Olimpik, MOM juga sedaya upaya cuba membantu atlet negara yang dilihat berpeluang untuk layak beraksi di Tokyo.

"Kami berjaya mengemukakan rayuan untuk Cheong Jun Hoong (atlet terjun) yang pada awalnya dikatakan tidak layak.

"Kemudian kami cuba membantu atlet ekuin, Qabil (Ambak Mahamad Fathil) melalui proses kelayakan di Denmark tetapi dia tidak dapat melepasinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 6:11 PM