ABDUL Azeez. FOTO Arkib NSTP
ABDUL Azeez. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan ahli keluarga bekas Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung permohonan kerajaan untuk melucut hak harta membabitkan wang tunai dan aset bernilai RM16 juta yang didakwa hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim berkata, surat makluman berhubung penolakan representasi itu sudah dihantar kepada peguam responden (ahli keluarga Abdul Azeez) pada 4 Februari lalu.

"Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes bagi status representasi oleh pihak responden dan dukacita dimaklumkan bahawa representasi yang difailkan pada 16 November lalu ditolak oleh AGC," katanya ketika prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Peguam Datuk Prem Ramachandran yang mewakili keluarga Abdul Azeez mengesahkan sudah menerima surat makluman itu.

Mahkamah memerintahkan pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis pada pertengahan Mei ini dan menetapkan 21 Jun untuk pendengaran kes lucut hak.

Pada September 2019, kerajaan memohon untuk melucut hak hampir RM16 juta daripada akaun milik isteri Abdul Azeez, Datin Seri Khadijah Mohd Noor, empat anak mereka iaitu Mohamed Khairul Anwar, Mohamed Khairul Azman, Khaleeda Azwa, Khaleeda Azeera termasuk satu lot kedai di Bandar Sunway, milik syarikat mereka, Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd.

Pada 18 Disember 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan ahli keluarga Abdul Azeez untuk menangguhkan prosiding melucut hak sementara perbicaraan kes rasuah terhadap Ahli Parlimen Baling itu yang sedang berjalan di Mahkamah Sesyen di sini selesai.

Abdul Azeez, 55, kini dibicarakan atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan hampir RM140 juta yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Perbicaraan berkenaan, bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan berhubung pembatalan kesemua pertuduhan itu di Mahkamah Rayuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 2:55 PM