Mohd Rafi Mamat


SURUHANJAYA Tenaga (ST) menyerbu sebuah premis di Kuantan, semalam selepas dipercayai membuat sambungan elektrik secara haram untuk menjalankan aktiviti perlombongan mata wang bitcoin.

Dalam Ops Bitcoin turut disertai Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), anggota penguat kuasa terpaksa memotong kunci bagi membuka dua pintu besi di luar dan dalam premis terbabit.

Timbalan Pengarah Penguatkuasaan ST Shafie Mohamed berkata, serbuan dilakukan di bangunan kedai terbabit mendapati premis itu melakukan penyambungan elektrik secara haram menyebabkan TNB mengalami kerugian RM32,000 sebulan.

Menurutnya, aktiviti perlombongan mata wang bitcoin menggunakan rangkaian komputer berkuasa tinggi selain beroperasi 24 jam sehari.

"Pihak terbabit dipercayai bertindak mencuri bekalan elektrik bagi mengelak membayar bil yang tinggi setiap bulan.

"Siasatan di premis tanpa penghuni itu mencatat arus elektrik tanpa meter kira-kira 400 Amp dengan jumlah bayaran RM32,000 sebulan.

"Walaupun terdapat meter di bahagian atas pintu premis, namun ia hanya untuk kegunaan beberapa lampu selain untuk mengaburi pihak berkuasa," katanya ditemui pada Ops Bitcoin di Kuantan, hari ini.

Menurutnya, TNB dan MPK akan terus melakukan ke atas 17 premis lain di Kuantan, esok kerana turut dipercayai melakukan perlombongan mata wang bitcoin.

"Sebelum ini pihak terbabit akan membuat sambungan haram semula beberapa jam kemudian walaupun TNB sudah membuat pemotongan bekalan elektrik.

"Bagaimanapun, dalam operasi kali ini, ST bertindak tegas dengan menanggalkan semua sambungan yang dibuat secara haram itu.

"Kegiatan perlombongan mata wang bitcoin bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada TNB, tetapi boleh mengundang berlaku kebakaran disebabkan litar pintas," katanya.

KAKITANGAN TNB menanggalkan peralatan
KAKITANGAN TNB menanggalkan peralatan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 8:43 PM