Fadhlina Sidek menyampaikan ucapan perasmian pada majlis pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) TAHUN 2022 di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia , Selayang. FOTO ASWADI ALIAS.
Fadhlina Sidek menyampaikan ucapan perasmian pada majlis pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) TAHUN 2022 di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia , Selayang. FOTO ASWADI ALIAS.
Mahaizura Abd Malik


Selayang: Kementerian Pendidikan (KPM) membuat penjenamaan semula bagi beberapa aspek dalam sistem pendidikan Tingkatan Enam yang berkuat kuasa serta-merta.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, perubahan itu termasuk Kolej Tingkatan Enam kini dikenali sebagai Kolej Pra-Universiti manakala jawatan pengetua akan ditukar kepada pengarah.

Katanya, istilah guru penolong kanan juga akan digantikan dengan timbalan pengarah manakala guru kepada pensyarah dan murid menjadi pelajar.

"Nama jawatan guru akademik Tingkatan Enam kepada pensyarah tidak membabitkan perubahan gred perjawatan mahupun kelayakan akademik.

"Melalui penjenamaan yang berkuat kuasa serta merta ini, Pengarah Kolej Pra-Universiti juga diberi autonomi bagi pengambilan pelajar Tingkatan Enam secara terus jika masih ada kekosongan.

"Pengarah akan mengenal pasti pelajar berpotensi yang memerlukan peluang menyambung pengajian dan boleh menggunakan kuasa autonomi untuk membuat tawaran sendiri secara terus kepada murid berkenaan.

"Penjenamaan semula ini dibuat dalam usaha memberi peluang kepada murid untuk melangsungkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan KPM akan meneliti kelonggaran syarat bagi kemasukan ke Tingkatan Enam,"katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2022 di Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPM, Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi serta Pengerusi MPM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Fadhlina berkata, KPM juga sedang meneliti laluan khas bagi meningkatkan bilangan guru cemerlang Tingkatan Enam yang ketika ini direkodkan seramai 60 orang atau 0.5 peratus daripada keseluruhan guru akademik Tingkatan Enam.

"Dalam usaha meningkatkan kualiti profesionalisma guru akademik Tingkatan Enam, KPM akan menyediakan laluan khas bagi guru cemerlang Tingkatan Enam.

"Jadi, KPM akan meneliti semula instrumen penilaian guru cemerlang Tingkatan Enam," katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, 67 peratus daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika ini sudah mengesahkan kemasukan ke Tingkatan Enam.

"Kita masih buka lagi kepada mana-mana pihak yang berhasrat masuk ke Tingkatan Enam untuk sama-sama memohon bagi memenuhi kuota.

"Malah, kadar kemasukan ke universiti dalam kalangan lepasan STPM sangat tinggi iaitu 90 peratus. Maknanya mereka boleh masuk ke universiti dengan penguasaan cukup tinggi, bukan sahaja di bidang akademik dan sahsiah tetapi kelayakannya membolehkan mereka memenuhi merit untuk ke universiti," katanya.

Pada perkembangan lain, Fadhlina berkata, KPM juga sudah mengenal pasti 10,000 daripada hampir 30,000 lepasan SPM yang dikenal pasti berdepan masalah keciciran.

"Kita sudah pun kenal pasti, 10,000 daripada mereka membuat permohonan mengulang SPM dan 20,000 lagi sedang dikenal pasti untuk mendapatkan maklumat penuh dimana mereka berada.

"10,000 ini terdiri daripada lepasan spm daripada pelbagai tahun. Usaha mereka mengulang SPM menandakan mereka berhasrat menyambung pengajian dan KPM sangat mengalu-alukan hasrat mereka ini," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 3:44 PM