PPj memasang perangkap besar sebagai inisiatif menangani kehadiran kera liar di Kuarters Kerajaan di Presint 15.
PPj memasang perangkap besar sebagai inisiatif menangani kehadiran kera liar di Kuarters Kerajaan di Presint 15.
Oleh Samadi Ahmad


Putrajaya: Jabatan Landskap dan Taman, Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudah menjalankan operasi kawalan konflik kera di kawasan kuarters penjawat awam di Presint, 15 di sini, bagi menangani masalah berkenaan.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat PPj, Norzita Abdul Razak berkata, antara tindakan yang sudah diambil adalah memasang perangkap bersaiz besar dan operasi tembak halau koloni haiwan itu yang diadakan secara kerjasama dengan Perhilitan.

"PPj juga mengadakan khidmat nasihat kepada pengurusan fasiliti kuarters berkaitan langkah yang perlu diambil dalam meminimumkan impak konflik haiwan liar itu.

"Selain itu, kami sentiasa menjalankan operasi kawalan konflik di seluruh pusat pentadbiran kerajaan persekutuan di sini bagi memastikan keselamatan penduduk," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan keluhan penduduk di kuarters penjawat awam di Presint 15, di sini yang mendakwa gangguan kera mengganggu kehidupan kerana ia bukan hanya menyelongkar tong sampah, tetapi merosakkan kenderaan dan dibimbangi bertindak ganas terhadap kanak-kanak.

Mereka mendakwa berhadapan gangguan kera sejak tinggal kuarters itu, namun situasi semakin buruk kebelakangan ini hingga merisaukan penduduk.

Norita berkata, seperti diketahui, sejarah awal Putrajaya adalah kawasan ladang sawit dan getah yang dihuni pelbagai binatang.

Menurutnya, selepas dibangunkan sebagai pusat pentadbiran kerajaan persekutuan, hidupan liar di sini, kehilangan habitat dan berlaku konflik antara manusia dan haiwan.

Katanya, bermula 2018 hingga 2023, PPj menerima 109 aduan konflik hidupan liar membabitkan kera (45), babi hutan (9), lebah dan tebuan (36) dan lain-lain (19).

"PPj dengan kerjasama Perhilitan juga berjaya menangkap dan melupuskan 80 babi hutan dan menangkap 124 ekor kera untuk, dipindahkan ke habitat lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 6:55 AM