Puazz Sambal Bilis antara produk Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd yang akan mengalami kenaikan harga mulai 1 Oktober ini. FOTO BERNAMA
Puazz Sambal Bilis antara produk Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd yang akan mengalami kenaikan harga mulai 1 Oktober ini. FOTO BERNAMA
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Bermula 1 Oktober ini, beberapa produk terpilih Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) akan mengalami kenaikan.

Antara produk yang mengalami kenaikan adalah Puazz Sambal Bilis, Sambal Mackerel dan Kari Ayam, Quick Bites Butter Toffee dan Red Beans, Quick Bites Cream Rolls, Numee Yellow Noodle dan Numee Keluarga.

Pihak pengurusan Gardenia KL mengesahkan, perubahan harga itu berkuat kuasa 1 Oktober ini selepas pihaknya menyemak semula harga bagi produk terpilih.

"Terima kasih kerana menghubungi kami berkenaan semakan harga produk Gardenia.

"Gardenia KL telah menyemak semula harga bagi produk-produk terpilih berkuat kuasa 1 Oktober 2023.

"Bagaimanapun, harga roti putih, roti gandum penuh dan roti Toast'em kegemaran ramai dikekalkan harganya supaya tidak membebankan majoriti pelanggan," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan syarikat itu sekali gus menjawab isu kenaikan harga produknya yang tular di media sosial beberapa hari ini.

Untuk rekod, syarikat itu menaikkan enam harga produknya antara 10 sen hingga 50 sen pada 1 September tahun lalu.

Perubahan harga itu membabitkan Gardenia Original Classic daripada RM2.80 kepada RM3; Gardenia Wholemeal daripada RM3.60 kepada RM4; rangkaian Gardenia Toast'em daripada RM5 kepada RM5.50; Gardenia Twiggies RM1.80 kepada RM2; Gardenia Waffles RM1.40 kepada RM1.50 dan Roti Krim Gardenia RM1 kepada RM1.10.

Sebelum itu, pada 1 Disember 2021, syarikat itu juga menaikkan harga Original Classic 400g dinaikkan kepada 30 sen manakala Original Classic Jumbo 600g dinaikkan kepada 45 sen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 2:19 PM