BANGUNAN Kesuma di Putrajaya
BANGUNAN Kesuma di Putrajaya
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) menyambut baik inisiatif terbaru, Program Insentif Latihan Amali (Ilham) Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) yang diumumkan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, baru baru ini.

Ilham bakal mewujudkan ekosistem komprehensif dalam memupuk bakat muda tempatan untuk jangka panjang.

Menyahut seruan itu, HRD Corp komited untuk menjayakan mandat yang diberikan menerusi penambahbaikan kepada Skim Latihan Perindustrian atau Industrial Training Scheme (ITS) HRD Corp dengan meningkatkan bantuan kewangan yang dibenarkan daripada 20 peratus kepada maksimum sehingga 50 peratus dari baki levi majikan pada Januari untuk tahun taksiran ITS terbabit.

HRD Corp berkata, ini akan dilakukan menerusi penajaan pelajar kolej, universiti dan institusi latihan yang sedang menjalani latihan industri di organisasi mereka.

"Tajaan boleh dilakukan menerusi pembayaran elaun latihan bulanan oleh majikan kepada pelatih dan juga semua tuntutan kewangan menerusi keperluan pelatih yang sedang menjalani latihan amali terbabit.

"Selain itu, terma had siling untuk elaun latihan bulanan yang boleh dituntut untuk setiap pelatih di bawah skim ITS juga dimansuhkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, ini bermakna, tiada lagi had jumlah bayaran elaun latihan amali untuk dituntut oleh majikan yang menggajikan calon pelatih latihan amali di organisasi mereka.

"Ini akan ditentukan oleh pasaran semasa yang dipersetujui oleh majikan. Antara pengumuman penambahbaikan lain termasuk membolehkan majikan untuk membuat tuntutan kos latihan lain yang disertai pelatih mereka termasuk kursus persijilan profesional.

"Untuk melayakkan majikan menggunakan kemudahan peruntukan ITS, majikan hendaklah memastikan pelatih menjalani latihan industri tidak kurang dari dua bulan dan tidak melebihi 12 bulan latihan di premis majikan terbabit," katanya.

Katanya, ini bakal membolehkan majikan membayar upah latihan industri pelatih latihan amali sehingga setahun melalui peruntukan tuntutan levi mereka.

"Selain ITS, tiga lagi inisiatif lain yang turut berada di bawah satu ekosistem besar Ilham Kesuma termasuklah Dasar Latihan Industri Berstruktur, Geran Padanan LiKES, serta program-program sokongan seperti MyNext yang dikendalikan oleh lain-lain agensi lain di bawah Kesuma," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 6:23 PM