Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni ketika sidang media di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, Pekan hari ini. FOTO BERNAMA
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni ketika sidang media di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, Pekan hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Pekan: Insiden seorang pelajar tingkatan lima dan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang meninggal dunia akibat keracunan makanan semalam, masih dalam siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, perkara itu masih dalam semakan KKM dan pihak ibu pejabat akan mengeluarkan kenyataan mengenainya nanti.

"Perkara terbabit akan dijawab oleh Bahagian Kesihatan Awam dan pihak ibu pejabat akan mengeluarkan kenyataan tersebut. Buat masa ini, ia masih lagi dalam semakan dan siasatan," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan, Pahang, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang Datuk Dr Rusdi Abd Rahman.

Hari ini, media melaporkan bahawa polis mengesahkan menerima dua laporan kes kematian membabitkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun yang meninggal dunia disyaki akibat keracunan makanan yang diambil daripada sebuah sekolah agama di Gombak.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir dipetik berkata, remaja itu menjamah makanan yang dibawa balik ibunya selepas menghadiri program keagamaan di sekolah berkenaan, Sabtu lalu.

Beliau berkata, selepas memakan makanan itu, mangsa serta ibu bapanya mengalami cirit-birit dan pada jam 1.30 tengah hari semalam, mangsa tidak sedarkan diri.

Mangsa kedua pula memakan makanan yang dibawa oleh bapanya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sekolah terbabit pada Sabtu dan didapati demam, muntah-muntah serta cirit-birit sekitar jam 10.45 pagi semalam.

Beliau berkata, mayat kedua-duanya dibawa ke Hospital Selayang dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 4:25 PM