Bencana banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia sudah mulai surut, namun amat dibimbangi kini adalah ancaman penyakit bawaan air serta makanan dan minuman tercemar akibat kebersihan kawasan persekitaran yang terabai.

Semua penyakit berkenaan menunjukan simptom hampir sama dan boleh mengancam nyawa sekiranya pesakit tidak mendapatkan rawatan segera.

Antara penyakit bawaan air ialah tifoid, taun, hepatitis A dan leptospirosis yang menyebabkan gejala seperti demam, lenguh badan, sakit kepala, sakit perut, muntah, cirit-birit dan demam kuning.

Jika melengahkan rawatan, ia boleh menyebabkan kematian akibat kegagalan organ dalaman seperti buah pinggang, hati, paru-paru atau jangkitan pada bahagian otak.

Selain itu, bakteria Escherichia coli atau lebih dikenali E. coli juga mampu mengancam nyawa apabila ia mencemari makanan dan minuman terkena najis.

Biarpun kebanyakan bakteria jenis itu hanya menyebabkan masalah kesihatan sementara, tetapi ada rantaian E.coli yang boleh mencetuskan kekejangan abdomen yang serius, ciri-birit berdarah dan muntah.

E.coli ialah bakteria yang hidup dalam usus manusia sihat dan haiwan. Seseorang boleh terdedah kepada E.coli sekiranya mengambil makanan dan minuman tercemar seperti sayur mentah atau air tidak dimasak.

Jangkitan mula menampakkan kesan beberapa hari selepas terdedah kepada bakteria dan seseorang perlu segera berjumpa doktor sekiranya dia mengalami cirit-birit, sakit di bahagian abdomen, loya dan muntah.

Apabila memasuki badan, E.coli menghasilkan toksin kuat yang mampu merosakkan lapisan di dalam usus kecil hingga menjadi punca kepada cirit-birit berdarah.

Air banjir bercampur segala kekotoran termasuk najis manusia dan binatang, najis juga boleh bercampur dengan air sungai, tasik atau air yang digunakan untuk menyiram pokok tanaman.

E.coli juga boleh berjangkit dari manusia ke manusia terutama mereka yang suka mengabaikan aspek kebersihan seperti tidak mencuci tangan dengan sabun selepas menggunakan tandas.

Cirit-birit adalah satu cara tubuh menyingkirkan toksin dan ia mempercepatkan pemulihan tubuh, namun mengambil air secukupnya atau garam cecair pengganti untuk masalah dehidrasi amat penting.

Rawatan E-coli:

1. Rehat dan minum air secukupnya.

2. Bagi kes serius, pesakit akan ditahan di wad.

3. Makan makanan berkhasiat dan kaya vitamin.

Pencegahan E-coli:

1. Elak makanan mentah atau tidak dimasak sepenuhnya.

2. Elak makanan yang diragui kebersihannya.

3. Cuci tangan dengan sabun setiap kali selepas menggunakan tandas, sebelum memasak atau sebelum makan.

4. Minum susu yang sudah dipasteur.

5. Basuh sayur dan buah-buahan dengan teliti.

Tip sebelum bertemu doktor:

1. Catat setiap simptom yang dialami.

2. Catat aktiviti yang baru dilakukan sebelum alami simptom misalnya baru pulang dari percutian.

3. Senaraikan ubat, vitamin atau suplemen yang sedang diambil.

4. Dapatkan maklumat sebanyak mungkin daripada doktor mengenai cara untuk mengelak jangkitan pada masa depan.

5. Minum air secukupnya bagi memastikan badan tidak mengalami dehidrasi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 5:00 AM