Pasukan Tindakan Segera (Pantas) MPSepang mengalihkan pokok tumbang di kawasan Sepang selepas hujan lebat disusuli ribut semalam. Foto ihsan MPSepang.
Pasukan Tindakan Segera (Pantas) MPSepang mengalihkan pokok tumbang di kawasan Sepang selepas hujan lebat disusuli ribut semalam. Foto ihsan MPSepang.
Oleh Samadi Ahmad


Putrajaya: Sebanyak 30 kejadian pokok tumbang dilaporkan berlaku di sembilan lokasi di daerah Sepang ketika hujan lebat dan ribut, semalam.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Datuk Abd Hamid Hussain berkata, pihaknya menggerakkan Pasukan Tindakan Segera (Pantas) MPSepang ke kawasan terbabit selepas menerima panggilan kecemasan bermula jam 6 petang.

Menurutnya, antara kawasan terbabit ialah Cybervelly, Cyberjaya, Pekan Dengkil, Kota Warisan, Taman Warisan Indah, Bandar Baru Salak Tinggi, Taman Gemilang dan Sepang Putra.

Katanya, kawasan terjejas teruk adalah Taman Gemilang membabitkan 20 pokok dan kawasan Cyberjaya empat pokok manakala kawasan lain masing-masing sebatang pokok.

"Terdapat beberapa pokok tumbang dilaporkan menghempap kenderaan yang dipakir namun kejadian tidak melibatkan nyawa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kerja-kerja mengalihkan pokok tumbang turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Beliau berkata, hujan lebat yang bermula jam 6 petang turut mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan termasuk Kampung Sungai Merab, Kampung Jenderam, Jalan Desa Putra dan Lebuh Raya Wadi Ehsan, Desa Pinggiran Putra.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang Khairi Azali Ibrahim berkata, hujan lebat disertai ribut mengakibatkan bumbung beberapa rumah penduduk diterbangkan angin.

"Antara kawasan yang terjejas ribut adalah Kampung Semarang, Kampung Tengah, Kampung Sri Tanjung dan Taman Gemilang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 1:55 PM