GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Mahkamah Sesyen di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap seorang lelaki yang menyimpan harta rompakan milik pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Keputusan itu dibuat Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli selepas tertuduh, Nor Asrol Hisham Yusof, 38, mengaku salah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyimpan harta curi iaitu sebuah beg silang coklat yang dimiliki seorang lelaki yang juga pemegang kad UNHCR melalui hasil rompakan berkumpulan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di khemah tepi jalan Tengku Mizan, Bukit Tunggal, Kuala Nerus, jam 12.20 tengah malam pada 12 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara terhadap tertuduh bermula daripada tarikh tangkap iaitu pada 12 Mei lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 5:46 PM