ALIAS dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat terhadap rakannya. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
ALIAS dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat terhadap rakannya. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Buruh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat terhadap rakannya.

Keputusan itu dibuat Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli selepas tertuduh, Mohd Alias Mokhtar, 40, mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 45 tahun dengan niat menyebabkan bencana tubuh yang mungkin membawa kepada kematian.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Gelugor Kedai di sini, pada 8.30 malam 19 November 2023.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 21 November tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad.

Dalam kejadian pada 19 November itu, tertuduh didakwa menyebabkan kematian ke atas kenalannya dengan mencederakan mangsa menggunakan tukul, topi keledar dan pisau sehingga mendatangkan 37 kesan luka.

Mangsa ditemui meninggal dunia keesokan hari oleh jirannya sebelum tertuduh ditangkap polis di Kampung Bukit Payung diMarang pada 21 November tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 2:19 PM