KUMARASAN (tengah) melupuskan barang kes komputer. FOTO Omar Ahmad
KUMARASAN (tengah) melupuskan barang kes komputer. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


Iskandar Puteri: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri melupuskan pelbagai barang kes bagi tempoh 2019 hingga Mei lalu berjumlah RM428,450.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pelupusan barang kes ini membabitkan 304 kertas siasatan selepas mendapat arahan dari mahkamah.

Menurutnya, barang kes paling tinggi dilupuskan adalah 517 mesin melombong wang digital (bitcoin) bernilai RM232,650.

"Pelupusan barangan kontraban pula membabitkan pelbagai jenis minuman keras, rokok seludup, tong plastik berisi arak dan lima mesin penutup botol arak.

"Turut dilupuskan adalah barang kes perjudian seperti komputer, telefon bimbit dan lain-lain peralatan elektronik selain barang kes am," katanya dalam sidang media di IPD Iskandar Puteri, di sini, hari ini.

Turut hadir menyaksikan pelupusan itu adalah Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor Nor Fadilah Johanuddin.

Menurutnya, pelupusan barang kes jenayah menggunakan kaedah e-waste dan jualan sisa besi serta pepejal.

"Polis akan terus komited meneruskan usaha membanteras barang kontraban, di mana pemeriksaan terhadap premis jualan sekitar kawasan ini juga terus dibuat,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 3:36 PM