GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Sebanyak 652 kes kemalangan direkodkan membabitkan pelbagai kenderaan berat seperti lori kontena, lori kecil, bas ekspres bagi suku pertama tahun ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, ia membabitkan seramai 287 orang maut, cedera parah (95) dan cedera ringan (270).

Menurutnya, kemalangan itu berpunca pelbagai faktor antaranya kecuaian pemandu yang mengantuk, memandu melebihi had laju dibenarkan, kenderaan membawa lebih muatan dan tidak diselenggara dengan baik.

Katanya, salah satu tindakan utama dilaksanakan bagi menangani isu terbabit adalah menggiatkan penguatkuasaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membabitkan peraturan had muatan kenderaan dan had laju bagi kenderaan berat.

"Selain mengoperasikan 53 stesen penguat kuasa atau stesen timbang di seluruh negara, JPJ turut dibekalkan 75 unit alat timbang mudah alih bagi tujuan penguatkuasaan," katanya semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai statistik dan punca kemalangan membabitkan kenderaan berat bagi suku pertama tahun ini dan tindakan untuk menanganinya.

Mengulas lanjut, Hasbi berkata, pada 2023, sejumlah 45,015 notis saman dikeluarkan membabitkan kesalahan muatan bahaya dan lebih muatan.

"Manakala bagi tahun ini sehingga April, sejumlah 9,214 notis saman telah dikeluarkan," katanya.

Di samping itu katanya, Kementerian Pengangkutan bersama Kementerian Kerja Raya sedang dalam proses akhir untuk membangunkan sistem High Speed-Weigh in Motion (HS-WIM).

"Menerusi penggunaan sistem HS-WIM, aktiviti penguatkuasaan terhadap kenderaan berat boleh dilaksanakan secara masa sebenar atau automatik tanpa memerlukan kenderaan itu berhenti untuk ditimbang.

"Penggunaan sistem HS-WIM juga akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada jumlah tenaga manusia atau anggota penguatkuasaan yang tinggi.

"Sistem HS-WIM ini dijangka dapat memperluaskan capaian, meningkatkan pematuhan dan memperkukuhkan keberkesanan penguatkuasaan terhadap peraturan had muatan kenderaan serta menjadi penyelesaian jangka masa panjang dalam menangani isu had muatan kenderaan berat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 1:03 PM