GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Kempunan merasai wang jualan dadah apabila ganja mampat seberat lebih 52 kilogram (kg) milik empat pengedar dadah dirampas polis.

Difahamkan semua ganja bernilai lebih RM130,000 itu dirampas Polis Selangor menerusi beberapa serbuan di Shah Alam dan Kuala Langat Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, pihaknya menahan empat lelaki warga tempatan termasuk seorang juruteknik kilang berusia lingkungan 23 hingga 43 tahun.

Katanya, serbuan pertama dilakukan terhadap sebuah rumah teres setingkat di Shah Alam pada jam 6 petang.

"Hasilnya tiga lelaki tempatan ditahan dan lima ketulan mampat dipercayai ganja seberat 5.1 kg dirampas.

"Serbuan kedua dilakukan terhadap seorang lelaki di kawasan parkir sebuah pasar raya di Banting, Kuala Langat. Polis menemui lima ketulan mampat dedaun kering dipercayai ganja seberat 5.1 kg di dalam sebuah kereta.

"Suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah setingkat di kawasan Telok Panglima Garang, Banting. Sebanyak 41 ketulan mampat ganja seberat 41.82 kg ditemui di dalam rumah terbabit.

"Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dalam kes ini berjumlah RM130,050 dan ia dipercayai untuk pasaran sekitar negeri Selangor," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati hanya seorang daripada empat suspek berkenaan mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah.

Katanya, polis turut menyita beberapa aset seperti sebuah rumah teres, wang tunai, dua buah kereta, dua buah motosikal yang mana keseluruhan sitaan bernilai RM854,000.

"Kesemua suspek ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama tujuh hari sehingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 8:34 PM