Pasukan MOSAR mengusung mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Ranau. FOTO Ihsan PDRM.
Pasukan MOSAR mengusung mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Ranau. FOTO Ihsan PDRM.
Juwan Riduan


Ranau: Pendaki meninggal dunia selepas rebah dan tidak sedarkan diri ketika mendaki puncak Gunung Kinabalu, semalam.

Lelaki tempatan berusia 53 tahun itu rebah di sebaik tiba di Kilometer (KM) 8.3 laluan ke puncak gunung pada 5.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima makluman kematian itu pada 11 pagi.

Katanya, berdasarkan maklumat, mangsa membuat pendakian dari Timpohon Gate, Selasa lalu bersama isterinya dan sembilan ahli rombongan serta diiringi tiga malim gunung.

"Ketika tiba di KM8.3, mangsa tiba-tiba berhenti dan terus rebah. Malim gunung yang berada di lokasi segera memberikan bantuan pernafasan kecemasan tetapi gagal menyelamatkan mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian diusung turun ke Timpohon Gate oleh pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (Mosar) dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Kundasang

"Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Ranau untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Beliau menasihati orang ramai yang ingin mendaki Gunung Kinabalu agar memastikan diri dalam keadaan sihat sepenuhnya agar tidak memudaratkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 4:52 PM