Mangsa yang tidak sedarkan diri diberi bantuan pernafasan sebelum dibawa turun dari Gunung Kinabalu. FOTO Ihsan Bomba
Mangsa yang tidak sedarkan diri diberi bantuan pernafasan sebelum dibawa turun dari Gunung Kinabalu. FOTO Ihsan Bomba
Juwan Riduan


Ranau: Seorang lelaki meninggal dunia ketika mendaki Gunung Kinabalu dalam kejadian di laluan pendakian Kilometer 3.2, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 1 tengah hari, mangsa berusia 51 tahun berasal dari Sarawak dikatakan dalam pendakian menuju ke Panarlaban.

Setiba di lokasi kejadian mangsa mengatakan hendak berehat kepada Malim Gunung sebelum tiba-tiba rebah.

Malim Gunung kemudian melaporkan kejadian itu kepada kakitangan Taman-Taman Sabah (TTS) sebelum menghubungi pihak bomba.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 1.23 tengah hari.

Katanya, tindakan awal pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu, kakitangan TTS dan Malim Gunung memberi bantuan pernafasan.

"Mangsa seterusnya dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan pengusung.

"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi ditamatkan pada 4.30 petang tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2022 @ 10:28 PM