Pasukan penyelamat mengangkat mangsa yang cedera untuk dibawa ke Timpohon Gate sebelum dihantar ke hospital. FOTO IHSAN BOMBA
Pasukan penyelamat mengangkat mangsa yang cedera untuk dibawa ke Timpohon Gate sebelum dihantar ke hospital. FOTO IHSAN BOMBA
Juwan Riduan


Ranau: Pendaki warga China diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas mengalami kecederaan akibat terjatuh ketika turun dari puncak gunung di kawasan Kilometer 7.5 di sini, hari ini.

Lelaki berusia 43 tahun itu dilaporkan mengalami pendarahan di kepala dan telinga selepas belakang kepalanya terhantuk ke tanah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.35 pagi.

Menurutnya, sepasukan 14 pegawai dan anggota termasuk MOSAR serta malim gunung dan anggota ParkSAR dikerah ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi mangsa, pasukan penyelamat terus memberikan rawatan awal bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya turun ke Timpohon Gate dengan menggunakan kaedah 'piggyback carry' oleh pasukan MOSAR, malim gunung dan ParkSAR.

"Sebaik tiba di Timpohon Gate, mangsa diserahkan kepada pihak ambulans dan dibawa ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut.

"Operasi tamat pada 1.35 tengah hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 3:22 PM