PEGUAM Fahmi (tengah) ketika sidang media selepas ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin mengaku tidak bersalah di mahkamah bagi didakwa di atas pertuduhan pengabaian dengan kemungkinan boleh menyebabkan kecederaan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini. FOTO MoHamad Shahril Badri Saali
PEGUAM Fahmi (tengah) ketika sidang media selepas ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin mengaku tidak bersalah di mahkamah bagi didakwa di atas pertuduhan pengabaian dengan kemungkinan boleh menyebabkan kecederaan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini. FOTO MoHamad Shahril Badri Saali
Suraya Roslan; Raja Noraina Raja Rahim dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Petaling Jaya: Kedua-dua ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin 'terikat' dengan perintah larangan bersuara selepas Mahkamah Sesyen di sini, hari ini memutuskan pihak terbabit dengan prosiding pengabaian kanak-kanak autistik supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

Hakim Dr Syahliza Warnoh membuat keputusan itu selepas peguam Fahmi Abd Moin mewakili bapa Zayn, Zaim Ikhwan Zahari yang berdepan tuduhan pengabaian berkenaan memohon orang ramai di luar sana dikenakan 'gag order'.

Terdahulu, Fahmi meminta perintah itu dilakukan supaya masyarakat tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kes terbabit kerana boleh membawa kepada subjudis.

"Saya percaya sebelum mereka (ibu bapa Zayn Rayyan) dituduh pagi ni, banyak kenyataan di media sosial dan mereka amat terkesan.

"Kami minta perintah larangan itu kepada masyarakat umum," katanya.

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron, menyerahkan permohonan itu kepada budi bicara mahkamah, namun mencadangkan kedua-dua tertuduh turut dihalang membuat sebarang hantaran di media sosial mengenai kes berkenaan.

"Perintah itu terlalu umum, had kebebasan bersuara dinikmati oleh semua orang. Jika berlaku pelanggaran, apakah remedi yang boleh diambil dalam kes ini?

"Kalau 'gag order', kita ada kumpulan sasaran yang spesifik," katanya.

Pada 6 Disember tahun lalu mayat Zayn Rayyan, 6, ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

Ibu bapa kanak-kanak malang itu yang ditahan pada 31 Mei lalu di sekitar Puncak Alam, Selangor ditahan reman selama 13 hari bermula 1 Jun lalu bagi membantu siasatan kes pembunuhan tersebut yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 1:35 PM