Ibu bapa angkat kepada kanak-kanak perempuan berumur 5 tahun yang mati akibat didera dalam kejadian di Taman Malkop Silibin, di sini, semalam direman. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Ibu bapa angkat kepada kanak-kanak perempuan berumur 5 tahun yang mati akibat didera dalam kejadian di Taman Malkop Silibin, di sini, semalam direman. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Ibu bapa angkat kepada kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang mati akibat didera dalam kejadian di Taman Malkop, Silibin, di sini, semalam direman selama enam hari bermula hari ini.

Perintah reman ke atas suami isteri berusia 66 dan 27 tahun itu dibenarkan oleh Majistret S Punitha untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pasangan yang berpakaian kasual dibawa masuk ke mahkamah dengan diiringi anggota polis kira-kira 12 tengah hari.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan penahanan pasangan itu kira-kira 2.30 petang semalam susulan kematian mangsa.

Terdahulu, mangsa dibawa ke wad kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, kira-kira 9.45 pagi semalam untuk menjalani rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.

Pemeriksaan ke atas fizikal mangsa mendapati terdapat kesan lebam di seluruh anggota badan dan disyaki pernah dipukul menggunakan objek tumpul.

Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematiannya disebabkan' multiple blunt injuries' (kecederaan disebabkan berbilang objek tumpul) serta terdapat juga luka dan lebam pada salur peranakan luar (vagina) dan dubur mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 1:52 PM