Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan
Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Pengasuh yang disyaki mendera bayi perempuan berusia enam bulan hingga meninggal dunia dijangka dihadapkan ke mahkamah Khamis ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, arahan pertuduhan ke atas wanita berusia 51 tahun mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kerana membunuh itu diperoleh hari ini.

Katanya, suspek yang sebelum ini direman empat hari berakhir semalam disambung reman seminggu lagi iaitu bermula hari ini.

"Hari ini merujuk Timbalan Pendakwa Raya, arahan tuduh terhadap suspek akan dibuat pada 20 Julai ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, akhbar melaporkan seorang bayi perempuan berusia enam bulan meninggal dunia disyaki akibat didera oleh pengasuhnya dalam kejadian di Taman Tawas Indah, di sini.

Polis menerima laporan pada 12 Julai lalu dari pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) yang menerima kemasukan mangsa yang dihantar oleh suspek sendiri melalui khidmat ambulans.

Sewaktu dihantar pihak hospital mendapati bayi terbabit dalam keadaan koma dan terdapat kesan lebam di badan disyaki akibat didera justeru pengasuh mangsa ditangkap pada 13 Julai lalu.

Kes yang pada mulanya disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 itu ditukar kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh selepas mangsa meninggal dunia di wad Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HRPB kira-kira jam 2.51 petang 14 Julai lalu.

Hasil bedah siasat yang dijalankan menunjukkan punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan di kepala akibat objek tumpul (blunt trauma of the head).

Suspek mengasuh mangsa secara sepenuh masa sejak Mac lalu berikutan ibu bapa kandung bayi berkenaan bekerja di Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 2:38 PM