FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Bayi perempuan berusia enam bulan meninggal dunia disyaki didera oleh pengasuhnya.

Ketua Polis Derah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata polis menerima laporan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, pada 12 Julai yang memaklumkan kemasukan mangsa ke hospital itu

Beliau berkata, ketika itu pihak hospital mendapati bayi terbabit dalam keadaan koma dan terdapat kesan lebam di badan disyaki akibat didera.

"Susulan itu, polis menangkap seorang wanita tempatan berusia 52 tahun yang juga pengasuh mangsa secara sepenuh masa pada 13 Julai lalu.

"Suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga 17 untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu kerana mengabaikan atau menganiayai kanak-kanak dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, kes diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan kematian mangsa di wad Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HRPB pada 2.51 petang semalam.

Yahaya berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan hari ini menunjukkan punca kematian mangsa disebabkan kecederaan di kepala akibat objek tumpul (blunt trauma of the head).

Menurutnya,, suspek mengasuh mangsa secara sepenuh masa sejak Mac lalu berikutan ibu bapa kandung bayi berkenaan bekerja di Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 7:01 PM