Tian Soon mengenalpasti pembiakan nyamuk eades di bekas plastik terbiar di Jalan Teratai, Johor Jaya hari ini sempena Operasi Gempur Aedes 2.0. FOTO Mary Victoria Dass
Tian Soon mengenalpasti pembiakan nyamuk eades di bekas plastik terbiar di Jalan Teratai, Johor Jaya hari ini sempena Operasi Gempur Aedes 2.0. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Kumulatif kes denggi di seluruh Johor pada Minggu Epid ke-22 adalah sebanyak 7,082 kes dan mencatatkan peningkatan sebanyak 94 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023 iaitu 3,649 kes.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon berkata, jumlah terkumpul lokaliti wabak di Johor pada 2024 sehingga minggu Epid ke-22 adalah 1,009 berbanding 449 dalam tempoh yang sama pada 2023 iaitu peningkatan sebanyak 125 peratus dengan 37 lokaliti wabak baru dilaporkan pada minggu lalu.

Menurutnya, sebanyak 5,849 premis diperiksa di 18 lokaliti sehingga 6 Jun lalu dan daripada jumlah berkenaan sebanyak 405 premis positif dengan 619 bekas pembiakan dikenal pasti.

Katanya, sebanyak 13,834 premis dibuat semburan sepanjang operasi berkenaan dengan penemuan tempat pembiakan di kebanyakan lokasi itu.

"Sembilan kes kematian akibat denggi dilaporkan mulai awal tahun sehingga kini.

"Ia menunjukkan bahawa kita masih lagi berdepan dengan masalah sikap yang tidak mengambil berat dengan pembiakan nyamuk aedes dan masalah kebersihan yang masih menjadi punca utama kes denggi terus meningkat.

"Operasi yang dijalankan terutamanya aktiviti penguatkuasaan bukan bertujuan untuk menghukum masyarakat tetapi untuk memberi kesedaran betapa pentingnya untuk memastikan premis bebas dari menjadi sarang nyamuk aedes.

"Harapan saya adalah agar semua pihak dapat melaksanakan tanggungjawab untuk memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes," katanya.

Tian Soon berkata demikian di sidang media di Operasi Gempur Aedes 2.0 di Jalan Teratai, Taman Johor Jaya di sini, pagi hari ini.

Menurutnya, operasi berkenaan bermula 20 Mei lalu selama sebulan membabitkan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 serta aktiviti kawalan seperti 'fogging' dan 'larvaciding' yang dijalankan secara besar-besaran bagi memutuskan rantaian jangkitan nyamuk aedes.

Katanya, ia dilakukan di kawasan terpilih yang mempunyai beban denggi yang tinggi serta wabak yang berulang dan berlarutan.

"Ia turut membabitkan agensi lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan SWCorp bagi memastikan segala aspek yang boleh menyumbang pembiakan nyamuk aedes diberi perhatian.

"Saya amat berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam menjayakan inisiatif ini.

"Saya difahamkan operasi ini disertai oleh pasukan kawalan denggi semua daerah di Johor yang berkampung di daerah ini selama sebulan kerana daerah berkenaan mencatatkan kes denggi tertinggi di seluruh negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2024 @ 3:56 PM