Dr Dzulkefly Ahmad
Dr Dzulkefly Ahmad
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menambah sembilan lokaliti baharu pelepasan nyamuk Aedes BerWolbachia di seluruh negara bertujuan membasmi ancaman demam denggi.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata sehingga kini sebanyak 35 lokaliti pelepasan nyamuk Aedes BerWolbachia dipilih sejak projek itu bermula pada 2019.

Beliau berkata, selepas empat tahun pelaksanaannya, bilangan kes denggi menurun antara 45 peratus hingga 100 peratus di 19 lokaliti pelepasan yang sudah layak dinilai.

"Kita akan menambah (lokaliti pelepasan), fokus kita Kelantan, Pahang, Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Kuala Lumpur," katanya selepas merasmikan Program Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Kebangsaan sempena Sambutan Hari Denggi Asean 2024, di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), Desa Setia Wira, di sini, tadi.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh.

Dr Dzulkefly juga menjelaskan pihak KKM juga sudah memohon peruntukkan dalam Bajet 2025 untuk projek pelepasan nyamuk aedes BerWolbachia di mana seekor nyamuk itu memakan kos 50 sen.

Wolbachia, sejenis bakteria yang disuntik ke dalam nyamuk Aedes Aegypti dan bertindak merencat perkembangan virus denggi dalam badan nyamuk seterusnya menghalang jangkitan virus denggi kepada manusia.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi dilaporkan berkata, dana sebanyak RM4 juta setahun diperlukan bagi menampung kos operasi itu.

Dr Dzulkefly berkata, di Malaysia, bermula Januari sehingga 1 Jun 2024 sebanyak 64,629 kes denggi dilaporkan berbanding 48,723 kes bagi tempoh sama tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 32.6 peratus kes atau 15,906 kes.

Beliau berkata, bagi tempoh sama, sebanyak 48 kematian dilaporkan berbanding 34 kematian pada 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2024 @ 1:06 PM